BeritaHarian#BH#29-04-2024#Default#1#BHS-006#4#ccihttps://www.spgroup.com.sg/dam/jcr:e2c0a28d-5804-424e-9300-eae81269bd9e6 Berita Harian | Isnin, 29 April 2024 Kursus pertingkat ilmu, kemahiran pekerja dalam operasi loji kuasa EKONOMI ▶ IRMA KAMARUDIN irmak@sph.com.sg Sebagai kakitangan baru dengan pengalaman kurang setahun di Senoko Energy, tugas mengendalikan loji kuasa dan menangani masalah yang mungkin timbul boleh menjadi sesuatu yang agak mencabar bagi Encik Muhammad Anas Ariffin. Namun, pengetahuan pegawai teknikal dalam mengendalikan loji kuasa yang menjana elektrik itu kini dipertingkat setelah beliau melalui kursus operasi loji kuasa dan kawalan proses. Apa yang membuat kursus itu lebih menarik adalah ia turut merangkumi latihan simulator, yang membolehkan pelatih belajar cara menangani senario yang jarang berlaku dalam sektor kuasa, seperti apa yang perlu dilakukan sekiranya loji kuasa mengalami penutupan. “Ia memberi saya peluang mempunyai pengalaman amali dengan sistem operasi. Kursus ini juga membolehkan saya menangani dengan lebih baik pelbagai senario yang kami tidak selalunya hadapi dalam operasi sebenar. “Oleh itu, ia membantu kami menjadi lebih bersedia dan memberikan kami keyakinan menangani sebarang situasi,” kata beliau, yang berusia 31 tahun. Seorang lagi peserta kursus yang sama, Encik Mohamed Shafiq Abdul Rashid, pula menambah latihan simulator itu mengajar beliau tindakan yang perlu diambil dalam pelbagai situasi dan cara memperbetulkan keadaan yang boleh berlaku di tempat kerja. “Ini bahagian kursus yang paling berharga kerana tidak selalunya masalah sistem yang mencabar berlaku. “Untuk dianggap sebagai seorang operator pengalaman, seseorang itu perlu mempunyai pengalaman 10 tahun atau lebih sebagai operator dan telah menghadapi kebanyakan masalah sistem,” kata pegawai teknikal (operasi dan kecekapan) di Tuas Power Generation berusia 31 tahun itu. Baru-baru ini, Institut Kuasa dan Gas Singapura (SIPG) telah melancarkan Simulator Loji Kuasa Berpusat (CPPS) yang pertama di Singapura, yang membolehkan program latihan operasi dijadikan lebih berstruktur dan standard bagi pekerja syarikat dalam sektor penjanaan kuasa. Sebanyak enam kursus yang disepadukan dengan latihan CPPS telah dibangunkan bersama oleh SIPG dan syarikat penjanaan kuasa merangkumi Keppel Merlimau Cogen O&M, PacificLight Power, Sembcorp Cogen, Senoko Energy, Tuas Power dan YTL PowerSeraya. Program latihan tersebut menetapkan standard yang konsisten bagi latihan kemahiran, seperti dalam operasi loji kuasa, kawalan proses dan pengurusan penggera serta kerosakan peralatan dalam sekitaran dikawal yang berbeza daripada operasi harian. Sebagai sebahagian pelancaran CPPS, SIPG juga memperkenalkan program latihan berstruktur merangkumi dua Program Sijil Penjanaan Kuasa baru, dengan sijil diiktiraf oleh semua syarikat penjanaan kuasa. Sijil itu akan diberikan kepada peserta setelah mereka selesai menjalani kursus CPPS serta kursus berkaitan penjanaan kuasa lain yang ditawarkan SIPG. Sebagai pegawai teknikal di Senoko Energy, tugas Encik Anas termasuk memastikan loji kuasa beroperasi dengan lancar dan melakukan pemeriksaan rutin. Melalui latihan yang dijalani, beliau berkata antara cabaran terbesar adalah untuk menangani senario yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini. Antaranya adalah situasi apabila peralatan didapati rosak dan mereka perlu belajar apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah sebelum seluruh loji kuasa terganggu. “Meskipun masih banyak lagi yang saya perlu belajar, saya rasa lebih yakin dalam menangani situasi dan senario yang berbeza (melalui latihan yang dijalani). Encik Muhammad Anas Ariffin (kanan) dan Encik Mohamed Shafiq Abdul Rashid, berpeluang mempertingkat pengetahuan dan kemahiran mereka setelah menjalani kursus operasi loji kuasa dan kawalan proses yang dibangunkan bersama oleh Institut Kuasa dan Gas Singapura (SIPG) dan syarikat penjanaan kuasa di sini. – Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA “Saya juga dapat lebih memahami rasional di sebalik seting tertentu dalam loji kuasa dengan mencuba seting yang berbeza dalam simulator untuk melihat akibat dan hasilnya. “Percubaan dan kesilapan sedemikian adalah satu ‘kemewahan’ yang kita tidak boleh lakukan dalam operasi loji sebenar,” kata beliau. Encik Shafiq, yang telah bekerja dengan Tuas Power Generation lebih tiga tahun, pula berkongsi bahawa antara cabaran yang dihadapinya adalah untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan simulator, memandangkan setiap syarikat penjanaan kuasa mempunyai sistem kawalan loji yang berbeza. Tugas beliau sebagai pegawai teknikal termasuk meneliti sebarang keluarbiasaan dalam sistem kawalan loji dan di loji kuasa itu sendiri dan mengenal pasti sebarang kerosakan peralatan yang menjejas kecekapan loji. “Antara perbezaan termasuk beberapa persediaan sistem loji, seperti menukar halaman berbeza pada simulator, mengakses dan mengawal peralatan loji dan mengemudi input gerbang logik berbeza (alat elektronik yang digunakan dalam kawalan dan pemantauan sistem) ke dalam sistem. “Dengan latihan cukup yang diberikan jurulatih, saya dapat membiasakan diri dalam tempoh yang singkat,” kata beliau. Encik Shafiq berharap dapat menyertai kursus peringkat lanjutan pada masa depan untuk terus mempertingkat pengetahuan teknikal beliau. “Saya mahu mempersiapkan diri saya dengan lebih baik untuk masa depan saya dalam industri penjanaan kuasa, lebih-lebih lagi dengan kemajuan teknologi akan datang,” kata beliau. “ Ia memberi saya peluang mempunyai pengalaman amali dengan sistem operasi. Kursus ini juga membolehkan saya menangani dengan lebih baik pelbagai senario yang kami tidak selalunya hadapi dalam operasi sebenar. Oleh itu, ia membantu kami menjadi lebih bersedia dan memberikan kami keyakinan menangani sebarang situasi.” – Encik Muhammad Anas Ariffin, pegawai teknikal di Senoko Energy. Ini bahagian kursus yang paling berharga kerana tidak selalunya masalah sistem yang mencabar berlaku. Untuk dianggap sebagai seorang operator pengalaman, seseorang itu perlu mempunyai pengalaman 10 tahun atau lebih sebagai operator dan telah menghadapi kebanyakan masalah sistem. – Encik Mohamed Shafiq Abdul Rashid, pegawai teknikal (operasi dan kecekapan) di Tuas Power Generation.